Sunday, March 1, 2015

Darurat Tanah Melayu

DARURAT TANAH MELAYU (1948 - 1960)


Pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1942-1945 telah memberi kesan kepada rakyat Tanah Melayu dimana nasionalisme orang Tanah Melayu yang telah dipengaruhi oleh orang Jepun semasa pendudukannya telah mendorong kepada mereka supaya ingin bekerajaan sendiri.

Setelah tentera Jepun menyerah diri, gerila komunis keluar dari hutan dan mengambil alih kuasa di beberapa kawasan Tanah Melayu. Namun demikian dalam beberapa minggu, pihak pentadbiran Tentera British (BMA) telah mengambil alih kuasa bagi kerajaan British. Pada masa yang sama Malayan Peoples Anti Japanese Army (MPAJA) dibubarkan. Anggota-anggotanya seramai 6,800 orang telah menerima wang sebanyak $350/- seorang semasa menyerah senjatapi mereka.
Sehubungan ini Parti Komunis Malaya(PKM) cuba mendirikan sebuah negara komunis di Tanah Melayu. Dengan itu anggota PKM mula meresapi pelbagai pertubuhan politik, belia dan kesatuan sekerja di samping bergiat cergas dalam PKM yang masih halal ketika itu. Setelah mendapat arahan dari Comintern dan merasakan perjuangan cara politik telah gagal, PKM mengalih corak perjuangan dengan pemberontakan bersenjata, iaitu sejajar dengan prinsip perjuangan Mao Tse Tung yang lebih yakin kepada perjuangan kekerasan bersenjata.

Chin Peng
Pemimpin PKM, Chin Peng (yang mengambil alih dari Loi Teck yang menghilangkan diri dengan sejumlah wang) telah melancarkan keganasan mulai pertengahan tahun 1948. Mereka membunuh pengurus-pengurus bangsa Eropah, memusnahkan pokok getah dan lombong, menyerang balai-balai polis dan anggota-anggota pasukan keselamatan. Untuk melumpuhkan ekonomi Tanah Melayu, mereka menjalankan operasi yang di gelar "Bumi Hangus".

Setelah keadaan menjadi begitu buruk, Sir Edward Gent telah mengisytiharkan darurat di seluruh negara mulai tahun 1948. PKM juga diharamkan.

Kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk memerangi komunis di seluruh negara. Undang-undang Darurat telah diisytiharkan. Antaranya adalah termasuk:
  1. Parti politik yang bersifat radikal diharamkan.
  2. Sesiapa yang disyaki dengan kegiatan komunis akan ditangkap, serta dibuang negeri.
  3. Hukuman bunuh dibuat untuk sesiapa yang dianggap bersuhabat dengan komunis.

Polis memeriksa seorang lelaki Cina 
untuk mengenalpasti samada tali 
barut komunis atau tidak.
Pada masa darurat kira-kira 40,000 tentera termasuk beberapa rejimen askar Melayu telah dikerah untuk menghapuskan anasir komunis. Mereka dilengkapkan dengan peralatan kelengkapan perang, seperti meriam, kapal terbang, dan kapal laut.

Ketenteraan British juga telah diperketatkan. Polis British dan mata-mata khas telah bertambah ke 70,000 orang. Home Guarddiperkenalkan supaya lebih banyak orang yang mampu membanteras komunis, iaitu sebanyak 200,000 orang. Bantuan tentera dari Komanwel (British, Australia, New Zealand, Gurkha dan Fiji), Polis Khas dan Perkhidmatan Negara telah dibuat.

Perintah Berkurung telah dibuat di kawasan yang telah mempunyai pengaruh komunis.

Kawasan Putih dan Hitam telah diperkenalkan supaya British boleh memudahkan proses mereka dalam membanteras komunis. Kawasan Putih adalah bermaksud kawasan tersebut telah bebas daripada anasir komunis, dan sebaliknya yang ada pada kawasan hitam. Antara semua negeri, Melaka adalah negeri yang pertama mendapat gelaran Kawasan Putih.

Sekatan jalan raya dan kawalan kampung telah dibuat oleh Home Guards di kawasan yang mungkin sebagai kawasan yang mempunyai pengaruh komunis, dengan itu, mereka boleh menyemak sesiapa sahaja dan juga berhak merampas barang yang mereka ada.

Kad pengenalan Tunku Abdul Rahman -
Perdana Menteri dari '57 - '70
Kad Pengenalan diwajibkan supaya mereka boleh menangkap sesiapa sahaja yang tidak ada kad pengenalan. Kerajaan British telah mewajibkan semua penduduk Tanah Melayu mesti membuat kad pengenalan sebaik sahaja mereka berumur 12 tahun sahaja.

Oleh kerana masalah pemberontak adalah masalah dalam negeri, Polis Persekutuan Tanah Melayu diberikan tanggungjawab untuk mengawalnya. Di kemuncak kebangkitan komunis (1950), Pasukan Polis dengan kekuatan 161,281orang yang terdiri daripada 31,164 anggota polis tetap, 44,117 polis khas dan 86,000 polis bantuan merupakan pasukan keselamatan yang terbesar kerana angkatan tentera hanya mempunyai 10 batalion infantri (2 batalion Tentera British, 5 batalion Tentera Gurkha dan 3 batalion Askar Melayu).

Pasukan Polis bertindak dan memainkan peranan utama dalam merancang strategi untuk menentang komunis. Pasukan Polis memburu dan menghapuskan komunis di hutan, di desa dan juga di bandar. Dalam usaha menjayakan gerakan menentang komunis, Cawangan Khas (Special Branch) selaku badan perisikan utama negara telah bertindak dengan tangkas dan cekap. Pihak polis juga memainkan peranan yang penting dalam menjayakan perang saraf terhadap komunis. Peranan pasukan polis dalam masa darurat adalah amat jelas jika dilihat pada jumlah anggotanya yang terkorban iaitu seramai 1,346 berbanding dengan pasukan keselamatan yang lain hanya 519 sahaja. Setelah merasakan dirinya bagitu lemah PKM mengundurkan saki baki tenteranya ke kawasan sempadan persekutuan Tanah Melayu - Thailand. Dari sana PKM berusaha mengumpulkan dan memulihkan semula kekuatannya.

Sir Harold Briggs juga melancarkan rancangannya (Rancangan Briggs) untuk membanteras komunis. Rancangannya adalah termasuk:
  1. Penempatan semula orang Cina. Ini adalah kerana sebahagian besar daripada ahli PKM adalah orang Cina, dan banyak orang Cina telah tinggal di kawasan setinggan semasa pendudukan Jepun (Rujuk pendudukan Jepun). Dengan kawalan dari orang Cina, jadi masalah untuk membanteras komunis adalah lebih senang.
  2. "Kampung baru" telah diperkenalkan. Kampung telah dibina di bahagian kawasan baru yang dipilih adalah dibuat untuk menempatkan orang Cina.
Pasukan Home Guards yang juga
terdiri dari wanita sedang berlatih
menggunakan senjata.
Langkah ini sangat penting, kerana kawasan setinggan penduduk Cina dianggap sebagai sarang untuk PKM dan tempat PKM untuk mendapatkan maklumat serta makanan. Dengan setiap Kampung Baru yang dikawal oleh Home Guards, jadi peluang untuk PKM and Min Yuen (pengintip PKM) untuk memberi maklumat dan barang keperluan kepada PKM yang melancarkan serangan gerila tipis.

Meskipun pasukan keselamatan telah diperkuatkan, namun tindakan ketenteraan secara langsung untuk menghapuskan komunis kurang berjaya. Ini kerana kumpulan komunis tidak bertempur secara berdepan. Tetapi mereka menjalankan tindakan secara gerila.

Terdapat juga kumpulan yang membantu dan memberi sokongan kepada Parti Komunis Malaya iaitu Min Yuen.

Undang-undang darurat telah ditamatkan pada 31 Julai 1960. Dalam tempoh 12 tahun perintah darurat dilaksanakan, kira-kira 11000 nyawa terkorban, termasuk 2500 orang awam.

Bagi menangani ancaman komunis, pihak British telah melaksanakan beberapa dasar:-
  1. Pembahagian daerah iaitu kepada kawasan putih dan kawasan hitam.
  2. Memindahkan setinggan berhampiran hutan ke kawasan selamat terlindung daripada peras ugut pengganas dalam rancangan yang dikenali sebagai kampung baru.
  3. Pengenalan sistem kad pengenalan bagai memudahkan seseorang itu dikenal pasti.
  4. Menggunakan pengangkutan udara bagi membawa tentera bagi menggempur pengganas. 
  5. Memperkenalkan Internal Security Act(ISA).
  6. Memberi pengampunan bagi pengganas yang menyerah melalui risalah yang disebarkan melalui unit udara.
  7. Memperkenalkan sukarelawan kampung / pengawal kampung yang bersenjata.
  8. Mendirikan balai polis dikawasan yang terancam / kawasan hitam.

Peristiwa 13 Mei


Peristiwa 13 Mei pada tahun 1969 merupakan satu titik hitam dalam sejarah negara Malaysia iaitu berlakunya rusuhan kaum yang mengakibatkan kehilangan nyawa dan harta benda dan mempunyai kaitan dengan pilihan raya umum 1969.


13 Mei – merupakan tarikh yang sangat sinonim dalam sejarah negara kita. Pada tarikh ini, berlakunya peristiwa berdarah yang tidak akan dapat dilupakan oleh seluruh rakyat Malaysia terutama mereka yang mengalami sendiri peristiwa berdarah itu. Lebih menyayat hati, ada antara mereka yang menyaksikan sendiri pertumpahan darah gara-gara perbalahan antara kaum, hilang keluarga dan tempat bergantung akibat tragedi ini.



PERARAKAN KEMENANGAN PARTI GERAKAN

Peristiwa ini berlaku berikutan pengumuman keputusan Pilihan Raya Umum(PRU) pada 10 Mei 1969. Dr. Tan Chee Khoon dari parti Gerakan telah menang besar di kawasan Batu, Selangor. Beliau minta kebenaran polis untuk berarak meraikan kemenangan parti tersebut di Selangor yang menyaksikan 50:50 di Selangor. Perarakan tersebut menyebabkan kesesakan jalan raya di sekitar Kuala Lumpur. Perarakan hingga ke Jalan Campbell dan Jalan Hale dan menuju ke Kampung Baru. Sedangkan di Kampung Baru, diduduki lebih 30,000 orang Melayu yang menjadi kubu UMNO, di sini juga terletaknya rumah Menteri Besar Selangor ketika itu, Dato' Harun Idris. Kaum Cina yang menang telah berarak dengan mengikat penyapu kepada kenderaan mereka sebagai lambang kemenangan mereka menyapu bersih kerusi sambil melaungkan slogan. Ada pula pendapat yang mengatakan penyapu tersebut sebagai lambang mereka akan menyapu ('menyingkir') orang-orang Melayu ke laut. Dalam masyarakat Melayu, penyapu mempunyai konotasi yang negatif (sial). Ada yang mencaci dan meludah dari atas lori ke arah orang Melayu di tepi-tepi jalan.


PERARAKAN BALAS PARTI UMNO

UMNO telah mengadakan perarakan balas pada pagi 13 Mei 1969 yang mengakibatkan terjadinya peristiwa ini.

Orang Melayu berkumpul di rumah Menteri Besar Selangor di Jalan Raja Muda Abdul Aziz di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Dato' Harun Idris selaku Menteri Besar Selangor ketika itu cuba mententeramkan keadaan. Mereka yang berkumpul telah membawa senjata pedang dan parang panjang dan hanya menunggu arahan daripada Dato' Harun Idris untuk mengamuk.

Ketika berkumpul, cerita-cerita tentang kebiadapan ahli parti Gerakan tersebar dan meluap-luap. Jam 3.00 petang datang berita kejadian pembunuhan orang Melayu di Setapak, hanya dua kilometer dari rumah Menteri Besar Selangor. Terdapat cerita-cerita lain mengenai seorang wanita mengandung dibunuh dan kandungannya dikeluarkan dari perut dengan menggunakan besi penggantung daging babi.Sebelum menghembuskan nafas terakhir wanita tersebut sempat memasukkan semula janin yang terkeluar itu ke dalam perutnya.

4.00 petang dua penunggang motosikal Cina yang melalui Jalan Kampung Baru telah dipancung. Sebuah van membawa rokok dibakar dan pemandunya dibunuh. Pemuda-pemuda Cina yang dikatakan dari Parti Komunis Malaya(PKM) dan kongsi-kongsi gelap telah bertindak balas. Mereka membunuh orang-orang Melayu di sekitar Kuala Lumpur. Orang Cina dan pemuda Cina ini lengkap dengan pelbagai senjata besi, tombak dan lembing berparang di hujung.

Cerita-cerita seperti ini telah menyemarakkan lagi api permusuhan di antara Melayu dan Cina. Rusuhan besar terjadi.


PERINTAH DARURAT

Pengisytiharan darurat oleh Yang Di-Pertuan Agong yang dibuat pada malam 16 Mei. Dengan pengisytiharan itu, Perlembagaan Persekutuan digantung. Negara diperintah secara terus oleh Yang Di-Pertuan Agong di bawah undang-undang tentera. Semua orang tidak dibenarkan keluar dari rumah. Darurat menjadikan ibu kota Kuala Lumpur seperti kota lama ditinggalkan, bergelap serta seakan berkabung atas kehilangan nyawa yang begitu banyak dalam satu masa. Pasukan polis berkawal di sekitar Kuala Lumpur. Tentera dari Rejimen Renjer lebih awal dikerahkan menjaga keselamatan sekitar Kuala Lumpur.

Pasukan Simpanan Persekutuan(FRU) di keluarkan dari Kampung Baru dan askar dari Rejimen Renjer ambil alih. Malangnya pasukan ini terdiri dari orang-orang Melayu, Iban, Cina,India, Sikh, Gurkha dan lain-lain turut menembak orang-orang Melayu dan ini menyebabkan kemarahan orang Melayu semakin meluap-luap. Menurut laporan, ketua pasukan Rejimen Renjer dikatakan berbangsa Cina.
Pemuda-pemuda Melayu yang mempertahankan Kampung Baru dan yang lain-lain mengamuk merasakan diri mereka terkepung antara orang Cina dengan askar Rejimen Renjer. Beberapa das tembakan turut ditujukan ke arah rumah Menteri Besar Selangor.

Akhirnya Regimen Renjer dikeluarkan dan digantikan dengan Askar Melayu. Beberapa bangunan rumah kedai di sekitar Kampung Baru, Jalan Tuanku Abdul Rahman masih terus terbakar. Pentadbiran diambil-alih oleh Askar Melayu. Malangnya beberapa askar Askar Melayu turut masuk ke kedai-kedai emas Cina dan mengambil harta benda di sana. Malah ada askar Melayu yang menembak ke atas rumah kedai orang Cina kerana mereka telah membaling botol ke arah askar Melayu tersebut.

Ramai orang Cina dibunuh dan dihumban ke dalam lombong bijih timah di Sungai Klang berhampiran lorong Tiong Nam, Chow Kit. Kononnya ada rakaman televisyen oleh pemberita dari BBC dan Australia, beberapa pemuda Cina ditangkap, dibariskan di tepi lombong dan dibunuh. Bagaimanapun, sehingga sekarang, tiada bukti yang diedarkan mengenai rakaman ini.


PANGGUNG ODEON

Pemuda-pemuda Cina telah bertindak mengepung Panggung Odeon, di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Beberapa iklan disiarkan dalam bahasa Cina di skrin pawagam menyuruh penonton dari kalangan Cina keluar dari panggung. Penonton Melayu di panggung tersebut langsung tidak tahu membaca tulisan bahasa cina. Kesan daripada itu, pemuda-pemuda cina tersebut telah menyerbu masuk ke dalam panggung dan menyerang dan menyembelih penonton yang ada dan membakar pawagam tersebut. Hampir semua penonton di dalam panggung tersebut mati di dalam keadaan yang sangat mengerikan. Ini termasuklah dua orang Askar Melayu yang tinggal di Sungai Ramal, Kajang. Manakala di pasar pula askar melayu telah menembak orang cina yang melanggar perintah berkurung dengan kereta perisai mereka. 


KESAN-KESAN PERISTIWA 13 MEI
Terdapat banyak kesan yang boleh dilihat dari peristiwa berdarah ini, sama ada secara langsung ketika itu mahupun kesan jangka panjang atau impak positif serta pengajaran yang boleh diambil dari peristiwa 13 Mei 1969.


Antara kesan langsung yang berlaku ketika itu ialah huru hara, kebakaran, kecederaan dan kematian. Angka rasmi menunjukkan 196 mati, 439 cedera, 39 hilang dan 9,143 ditahan. 211 kenderaan musnah.

Statistik tidak rasmi jumlah kematian:
Melayu : 86 orang
Cina : 342 orang
Lain-lain : 3 orang
Namun, ada pihak mendakwa statistik itu tidak begitu tepat kerana orang ramai yang menjadi saksi kejadian menyatakan jumlahnya lebih ramai berdasarkan deretan lori membawa mayat yang tidak sempurna menuju ke beberapa balai polis sekitar ibu negara.

Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang dipengerusikan Tun Abdul Razak dan dianggotai beberapa pemimpin kanan negara ditubuhkan. Malah pentadbiran negara dikendalikan hasil perkongsian kuasa tentera, polis, awam dan ahli politik.

Sepanjang tempoh darurat, MAGERAN melakukan pelbagai tindakan untuk mencari punca dan penyelesaian supaya tragedi seumpama itu tidak berulang.

Antara tindakan yang diambil ialah membentuk satu Rukun Negara bagi meningkatkan kefahaman rakyat mengenai Perlembagaan Negara. Turut dilakukan ialah melancarkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk menyusun semula masyarakat dan menghapuskan pengenalan kaum dengan aktiviti ekonomi atau pekerjaan dan membasmi kemiskinan tegar serta pembangunan di kawasan luar bandar.

Selepas itu terbentuknya Barisan Nasional yang menggantikan Parti Perikatan yang bersifat sebagai sebuah kerajaan perpaduan. Hampir semua parti yang bertanding pada 1969 menyertai BN kecuali DAP dan PAS.

Kesan jangka panjang dari peristiwa ini pula ialah luar bandar semakin maju dan tahap kemiskinan penduduk berkurangan dengan Amanah Saham Nasional dan Bank Bumiputera diperkenalkan. Institusi pendidikan seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pelbagai peluang lain juga diwujudkan bagi melahirkan golongan profesional dan cendikiawan tempatan.

Kerajaan juga menubuhkan Kementerian Perpaduan Negara yang kini dikenali Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) bagi mengatasi masalah perpaduan kaum di negara ini.